Mayat ahli perniagaan disumbat dalam bagasi sebelum dicampak ke cerun bukit di Hulu Langat



Mayat seorang ahli perniagaan ditemui dalam keadaan tangan diikat di dalam sebuah bagasi yang dicampak di cerun bukit pada ketinggian 27 Meter, Hulu Langat, Khamis lalu, lapor Harian Metro. 


Ketua Polis Daerah Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mayat mangsa berusia lingkungan 40-an itu ditemui dalam keadaan lengkap berpakaian dan terdapat kesan jerutan pengikat kabel di bahagian leher.


Polis terdahulu menerima laporan daripada rakan serumah mangsa yang mendakwa lelaki itu hilang, pada 26 April lalu. Bertindak di atas laporan tersebut, polis telah menahan beberapa suspek yang kemudian membawa kepada penemuan mayat mangsa. 


Menurut pengadu, rakannya yang mempunyai rangkaian klinik kesihatan persendirian itu bertemu dengan rakan perniagaan pada jam 11 pagi hari yang sama di Semenyih sebelum didapati hilang tanpa dapat dikesan. 


Sebelum hilang, mangsa ada menghantar mesej kepada pengadu dan memintanya memasukkan wang (milik mangsa) sebanyak RM228,000 ke satu akaun syarikat yang tidak dikenali. 


Bagaimanapun, pengadu berasa curiga dengan permintaan itu dan tidak mengikuti arahan tersebut.


Cubaan untuk menghubungi telefon bimbit mangsa gagal dan perkara itu dimaklumkan kepada ahli keluarga mangsa yang bimbang dengan keselamatannya. 


27 April 2023 jam 4 petang, polis menahan tiga suspek lelaki dan dua perempuan berusia 22 hingga 40 tahun di sekitar Kajang dan Ampang. 


Suspek utama (kontraktor) kemudian membawa polis ke lokasi mayat mangsa dibuang. Selepas mayat mangsa ditemui, polis merampas sebuah kereta Axia milik suspek dan beberapa barangan lain berkaitan kejadian seperti telefon bimbit milik mangsa. 


Siasatan lanjut mendapati, suspek mengakui terdesak kerana menghadapi masalah kewangan. Suspek merancang untuk mendapatkan wang perniagaan milik mangsa untuk tujuan perundangan tetapi hanya berjaya mendapatkan RM20,000 daripada mangsa. 


Keputusan bedah siasat menunjukkan, mangsa meninggal dunia akibat jerutan di leher yang menyebabkan saluran pernafasannya tersekat. Siasatan juga mendapati, pembunuhan itu sudah dirancang berdasarkan persiapan yang dibuat oleh suspek. 


Kes diklasifikasikan sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro


Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

No comments

Powered by Blogger.