'Mak & ayah kata saya tak berguna kerana gagal masuk MRSM' - Remaja akui pernah dipulau keluarganya
Gara-gara gagal melanjutkan pelajaran ke peringkat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), seorang pelajar tingkatan empat mendedahkan dia dipulau oleh ibu bapanya selama tiga bulan. Tidak terhenti di situ juga, kata-kata negatif turut dilemparkan terhadapnya.
Pelajar yang dikenali sebagai Shahril itu mengakui pernah tiga kali gagal membuat permohonan.
Shahril berkata, dia mula membuat permohonan ke MRSM selepas tamat belajar di peringkat sekolah rendah dan bertekad untuk belajar tingkatan satu di MRSM kerana ia merupakan impian keluarganya.
Bagamanapun, Shahril kecewa apabila permohonan pertamanya ke MRSM ditolak dana usahanya untuk membuat rayuan juga menemui kegagalan. .
Perkara itu memaksa dia meneruskan pembelajaran tingkatan satu di sekolah menengah harian biasa meskipun memperoleh keputusan cemerlang 5A, dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Keluarga kecewa apabila saya gagal masuk MRSM ketika tingkatan satu sebab kebanyakan rakan kelas saya ramai yang berjaya mendapat tempat di MRSM. Ada juga yang sambung belajar di Sekolah Berasrama Penuh (SBP).
“Saya teruskan pembelajaran seperti biasa di sekolah menengah kebangsaan harian di Kedah kerana dekat dengan rumah dan tekad buat yang terbaik untuk Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) ketika itu,” katanya.
Lebih menyedihkan, permohonan kali ketiganya untuk menyambung pelajaran di MRSM bagi Tingkatan 4 masih gagal sehingga membuatkannya putus harapan. Lebih-lebih lagi apabila ibu bapanya sanggup memperlekehkan usahanya selama ini.
“Ibu ayah kata saya tak berguna, mereka habiskan banyak duit hantar saya ke tuisyen semata-mata untuk pastikan saya peroleh keputusan terbaik semasa PT3.
“Keputusan peperiksaan saya hanya memperoleh 7A 1B, dan disebabkan gagal mendapat kesemua A dalam lapan subjek, menambah lagi kemarahan orang tua saya dan mereka kata saya tak serius belajar,” luahnya.
Katanya, sebagai anak tunggal keluarga, sudah pasti dia berasa tertekan kerana sejak kecil ibu bapanya langsung tidak pernah memarahinya apatah lagi mengungkap kata-kata yang negatif.
Sumber: Kosmo Online
Post a Comment