'Jantung & buah pinggang Aqil dah 'hangus' habis' - Ibu sedih, anak sulungnya meninggal dunia akibat strok haba, dehidrasi
Cuaca panas di atas 34 darjah celsius yang melanda negara boleh menyebabkan masalah kesihatan. Justeru orang ramai dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga dan mengehadkan aktiviti di luar rumah.
Tular di media sosial hari ini, perkhabaran seorang kanak-kanak lelaki dilaporkan meninggal dunia akibat strok haba dan dehidrasi selepas bermain di luar rumah.
Perkara itu disahkan oleh ibunya sendiri, Wanie Iwan, melalui hantaran di media sosial.
Menurut Wanie, anaknya bernama Aqil atau nama penuhnya Muhammad Syamil Aqil, sangat aktif bermain di luar rumah pada hari raya pertama dan kedua sebelum mula menunjukkan tanda-tanda lemah pada hari raya ketiga.
"Raya pertama dan kedua sangat-sangat aktif. Raya ketiga hanya demam biasa dan cirit-birit. Ibu monitor setiap jam suhu badan tetapi tak tinggi sangat, 37 - 39'c sahaja.
"Raya keempat selepas Subuh, Aqil kelihatan lemah dan dibawa ke klinik. Siap-siap pakai baju dan tiba-tiba nyetok (kekejangan) dan terus bawa ke klinik berdekatan.
"Sampai di sana, doktor masukkan oksigen dan air. Nadi Aqil tiba-tiba berhenti dan masa ini jantung ibu pun rasa macam tak ada dah. Semua doktor on call turun sebab Aqil tiba-tiba colapse.
"Semua doktor berusaha sehabis mungkin untuk menyelamatkan Aqil. Saya dan suami serahkan kepada doktor untuk buat apa pun agar anak dapat diselamatkan. Sejam doktor berusaha, tetapi nadi Aqil tak naik-naik.
"Doktor minta kami redha. Tepat jam 9.27 pagi, 25 April 2023, doktor mengesahkan Aqil telah tiada," katanya.
Jenazah Aqil kemudian dihantar Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bharu, Kelantan untuk menjalani bedah siasat bagi mengetahui punca kematiannya.
Keputusan bedah siasat mengesahkan Aqil disahkan mengalami strok haba dan dehidrasi.
"Doktor operate terus nampak semua isi dalam dah 'hangus', jantung dan buah pinggang Aqil 'hangus' habis dah. Dalam dah kosong. Air dan darah dalam tubuh dah kering," kata Wanie.
Jenazah Aqil telah selamat dikebumikan di tanah perkuburan kampung ibu bapanya.
"Jam 9 lebih, Aqil dah selamat pergi ke negeri abadi. Selamat berehat anak ibu. Penghuni pertama rahim ibu, zuriat pertama abah ibu yang mengajar erti kehidupan dan kasih sayang. Semoga Aqil tenang dan riang bersama kawan-kawan baru," katanya.
Dalam pada itu, Wanie juga menasihatkan golongan ibu bapa mengambil iktibar atas kejadian yang berlaku pada anaknya.
"Tolong ibu bapa di luar sana, ambil iktibar dari cerita anak saya. Tolong jangan bagi anak bermain di luar yang cuacanya panas. Suhu pada ketika ini sangat-sangat panas. Beri anak minum air secukupnya.
"Saya redha, doakan untuk saya terus kuat menghadap kehidupan dunia dengan kehilangan satu nyawa saya. Damailah anak syurga ibu Muhammad Syamil Aqil," katanya.
Sumber: Facebook Wanie Iwan
Post a Comment