'Pelacur pun pun pernah anggotai CCM ketika era pentadbiran BN' - Rosnah


Timbalan Menteri Kesihatan yang berkhidmat pada 2009, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin mengakui pelantikan golongan minoriti seperti transgender menganggotai Mekanisme Penyelarasan Negara (CCM) berlaku ketika era pentadbiran sebelum ini.

Menurutnya, lantikan golongan berkenaan telah wujud sebelum beliau menjawat jawatan di Kementerian Kesihatan lagi. Katanya, pelantikan berkenaan adalah mengikut prosedur sedia ada.

“Mereka berperanan memberi pendidikan berkaitan kesihatan kepada golongan minoriti di negara ini. Tidak silap saya wakil daripada golongan pekerja asing, pelacur, transgender sudah ada dilantik dalam jawatankuasa itu sebelum ini. Fungsi CCM ditubuhkan adalah untuk memberi pendedahan berkaitan kesihatan kepada golongan minoriti seperti itu,” katanya

Katanya, isu tersebut menjadi hangat ketika ini adalah kerana individu yang dilantik, Rania Zara Medina berkongsi mengenai lantikannya di media sosialnya sehingga menarik perhatian umum.

“Bukan kerana BN atau Pakatan Harapan (PH) mentadbir, tetapi lebih pada individu itu sendiri yang telah kedepankan dirinya di khalayak ramai dalam media sosial sehingga timbulnya kekeliruan mengenai lantikan tersebut.

“Dulu tidak timbul isu begini (individu dilantik dari golongan begini) kerana mereka tidak kongsi lantikan itu di media sosial, tetapi Rania telah melakukannya dengan berkongsi mengenai pelantikan tersebut,” katanya

Dalam pada itu, Rosnah yang kini Ahli Parlimen Papar, Sabah berkata, pemilihan ahli daripada golongan minoriti itu bukanlah satu keputusan yang salah, kerana ia lebih kepada mahu merapatkan hubungan antara kerajaan dan mereka dalam menyebarkan pendididikan kesedaran kesihatan dan fungsi lain lagi.

“Cuma saya terkilan dengan KKM, apabila fungsi dan tujuan lantikan AJK itu tidak diperjelaskan kepada umum sehingga masyarakat melihat dari sudut negatif. Sepatutnya kerajaan beri penjelasan lebih awal mengenai CCM dan siapa ahlinya selain peranan yang dimainkan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

No comments

Powered by Blogger.