'Seronok dapat Chicken Dinner dalam PUBG, tapi anak dan isteri diabaikan...' - Ramai suami yang sentap dengan teguran ini
Suami Ketagihan Game
Saya pernah jadi seperti ini. Telefon sentiasa di tangan. Masa sentiasa tidak cukup. Semua benda atau perkara lain adalah gangguan.
WhatsApp dari isteri dirasakan leceh. Apatah lagi video call. Hati rasa benda itu sangat mengganggu. Nak tak nak terpaksa jugak jawab. Bila jawab dengan keadaan sebegini, perbualan selalunya akan menjadi ringkas dan tidak berkualiti. Selalu juga akan berakhir dengan ketidakpuasan si isteri atau pergaduhan kecil.
Kadang-kala isteri call untuk bertanya khabar, bermanja atau sekadar melepaskan kerinduan serta kebosanan di rumah. Tetapi dibalas dengan dingin. Ditanya sepatah, jawab pun sepatah. Mana taknya, hati dah panas kerana permainan terganggu.
Bila di rumah pula, anak-anak perlukan perhatian, bantuan kerja sekolah atau sekadar bermanja, anda menjadi rimas dan terganggu. Semuanya kalau boleh tangguhkan, "nanti-nantilah ayah tengok, ayah sibuk ni". Padahal sibuk dengan game.
Berhenti membohongi diri anda. Memang ini yang anda rasa. Inilah realitinya dan kenapa ianya adalah satu penyakit yang semakin merebak dan membahayakan rumah tangga.
Game is fun. Permainan itu suatu yang menyeronokkan. Ianya menjadi satu kepuasan apabila kita berjaya di dalam objektif game itu sama ada, mendapat chicken dinner di dalam PUBG, memenangi perlawanan di dalam Mobile Legends atau karektor yang semakin kuat dan hebat di dalam game MMORPG (massively multiplayer online, Role Playing Game) seperti Lineage 2, AxE dan lain-lain.
Game itu sendiri secara dasarnya tidak salah. Tetapi apabila ianya mengambil masa yang terlalu lama untuk bermain, di sini datangnya masalah itu.
Kita semua ada 24 jam di dalam sehari. Seorang yang normal memerlukan 8 jam untuk mendapat tidur yang cukup. Baki 16 jam akan ditolak lagi sebanyak 9 bekerja dan 1 jam perjalanan pergi balik ke tempat kerja (lebih kurang). Pada penghujung hari, tinggallah 6 jam untuk membuat perkara lain dan bersama keluarga.
Di sini datangnya masalah. Masa yang tinggal itu akan direbut dan ditagih oleh ahli keluarga. Tetapi bagaimana pula kalau masa itu juga dihabiskan dengan bermain game?
Seringkali penggemar game akan sentiasa mengeluh tentang tiadanya masa yang cukup untuk diri sendiri. Mereka juga akan menegaskan yang mereka juga ada hobi dan bermain game inilah hobi mereka. Jadi, isteri dan anak-anak wajib faham dan beri ruang yang secukupnya.
Tak sedar lagi? Baca semula perenggan di atas dan sedarlah yang anda dah letak game itu lebih tinggi dari keluarga. Masa dengan keluarga tidak akan kembali. Jika anda terlepas masa itu, jangan harap anda akan dapatkannya semula.
Berhenti gunakan ayat, "mujurlah abang tak melepak sana sini, main perempuan dan lain-lain, sekurang-kurangnya abang sentiasa ada kat rumah". Ayat ni teramat tidak cerdik. Apalah gunanya jasad di depan mata tetapi tidak bernyawa? Tiada gunanya. Percayalah.
Isteri anda akan rasa tidak dihargai, diabaikan, dirasakan tidak penting, tidak dihormati, tidak disayangi dan tidak dipedulikan.
Jika anda rasa melampau si isteri rasa macam tu, anda sebenarnya dah terlalu jauh mengabaikan isteri anda untuk tidak lagi memahami perasaan isteri.
"Ahhh, aku main game nie suka-suka je, bukan ketagih pun". Jom kita tengok tanda-tanda suami ketagihan game.
- Bila suami nampak lebih gembira bermain game berbanding menghabiskan masa dengan orang lain atau ahli keluarga.
- Bila suami sangat keberatan untuk keluar berjumpa ahli keluarga lain atau saudara mara dan lebih suka tidak keluar dari rumah untuk bermain game.
- Bila suami menghabiskan masa berjam-jam dengan bermain game sehingga mengabaikan tanggungjawab sebagai suami, bapa dan sentiasa tidak mengendahkan kerja-kerja di rumah.
- Bila suami secara konsisten akan bermain game setiap petang atau malam.
- Prestasi kerja suami semakin menurun. Mereka sering lewat ke tempat kerja, sentiasa mengantuk dan tidak cukup tidur akibat bermain game.
- Suami tidak lagi berminat untuk bersukan atau ke taman berjalan bersama anak dan isteri.
- Sahabat handai dan saudara mara terdekat seringkali bercakap mengenai betapa suami sering bermain game.
- Suami sering menipu mengenai berapa lama mereka bermain game dan sentiasa berjanji yang ianya tidak akan lama dan seringkali bertukar kepada berjam-jam lamanya.
Jika anda atau suami ada tanda-tanda seperti di atas, berhentilah menipu diri sendiri dan mengakulah yang anda adalah seorang penagih game.
Bagaimana nak mengatasi masalah ini?
✔ Jangan terjebak sekali dengan masalah suami dengan bermain game bersama. Mungkin anda akan rasa anda meluangkan masa berdua, sebenarnya tidak dan ianya menjadi bertambah buruk jika pasangan sudah mempunyai anak.
✔ Mengabaikan masalah itu atau membiarkan suami dengan ketagihan game hanya akan memburukkan lagi masalah. Jangan abaikan, teruskan menasihati. Teruskan cuba mencuri masanya. Jangan putus asa sehinggalah dia sedar yang game itu tidak akan membantu apa-apa.
✔ Katakan pada suami yang anda mencintainya, anda risaukan ketagihan gamenya, anda rindukan masa bersama, terangkan yang ketagihan itu telah membuatkan suasana yang tidak baik di rumah dan akhirnya, berterus teranglah kepada suami yang ketagihan game dia bakal membuatkan rumahtangga anda retak.
✔ Jangan sekali-kali letakkan diri di bawah game ataupun kurang penting dari game. Anda lebih penting, anda lebih utama. Dapatkan semula suami anda ! Jangan biarkan suami utamakan game dari anda dan anak-anak.
✔ Jika suami tetap tidak mahu berubah, cadangkan untuk bertemu dengan pakar kaunseling rumah tangga.
✔ Dan di pengakhirannya, berikan kata dua, game atau anak dan isteri?
Kepada suami, fikirkan semula, berbaloi ke? Berbaloi ke lebihkan game berbanding kehidupan yang dipenuhi kegembiraan yang benar dan nyata? Insaflah.
Bila sudah berkeluarga ini, masa sepatutnya dihabiskan bersama mereka kerana apabila kita terlantar di katil hospital nanti, bukan game yang akan menjaga kita, bukan game yang akan menyuapkan nasi ketika kita sudah tidak mampu makan sendiri, bukan game juga yang akan duduk di tepi katil berdoa dan memberi semangat apabila nyawa kita berada di penghujungnya nanti.
Buanglah ketagihan itu. Kembalilah kepada keluarga. Anak dan isteri anda sangat merindui anda.
Kepada si isteri, terimalah kenyataan yang suami anda mempunyai masalah. Bantulah dia, kembalikan matanya kepada anda dan keluarga.
Sebelum saya terlupa, berhenti mengungkit tentang pengorbanan anda sebagai seorang ayah atau suami setiap kali ditegur pasal game. Itu bukan alasan untuk menghadap telefon berjam-jam dan bukan anda seorang sahaja yang berkorban untuk keluarga.
Game itu menyeronokkan. Tetapi ketagihan game itu adalah masalah yang boleh membawa kepada keretakan rumah tangga.
Kepada yang belum berkahwin, bawa-bawalah berhenti bermain game. Nanti sedar tak sedar anda dah 30an dan masih tinggal seorang diri. Berhentilah dari membuang masa.
Semoga bermanfaat. Silakan kongsi penulisan ini supaya ia dapat membuka lebih banyak mata mengenai permasalahan ini.
Jemput follow saya, Akhtar Syamir
Seperti artikel ini, saya juga selalu menulis mengenai kekeluargaan, hubungan suami isteri dan isu semasa.
Sumber: BroOhsem
Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih
Post a Comment