'Saya sedia dihukum' - Pemandu Vios kesal dirinya jadi punca rakannya hilang nyawa


Pemandu Toyota Vios berusia 21 tahun yang terbabit dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang sehingga menyebabkan rakannya maut selepas keretanya Mazda CX5 terjatuh dalam laut Ahad lalu, memaklumkan bahawa dia bersedia menerima hukuman, kata Ketua Polis Daerah Seberang Perai, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid. 

Beliau berkata, lelaki itu juga menangis apabila mengetahui Moey Yun Peng, 20, maut dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.54 pagi itu. 

"Selepas keadaan dia semakin baik selepas menerima rawatan di hospital, kami memaklumkan kepadanya mengenai apa yang berlaku kepada rakannya, dia terus sugul dan sedih," katanya.

Lelaki itu turut meminta maaf beberapa kali kerana merasakan kemalangan itu berlaku disebabkan keretanya hilang kawalan lalu melanggar kereta mendiang rakannya. 

Sementara itu, kertas siasatan berhubung kemalangan itu dijangka siap pada Isnin depan dan polis kini hanya menunggu laporan kimia kandungan alkohol dan dadah pemandu Toyota Vios itu. 

Kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan maut.

Sumber: Harian Metro

Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

No comments

Powered by Blogger.