Bayi 18 bulan mati dipukul ibunya kerana enggan minum susu


Baru-baru ini, seorang bayi perempuan berusia 18 bulan maut dipukul oleh ibunya yang berusia 17 tahun hanya kerana mangsa enggan minum susu dan secara tidak sengaja mengotorkan produk kosmetiknya dalam kejadian yang berlaku pada 15 Januari lalu di Taiwan.

Difahamkan, remaja terbabit melahirkan anaknya ketika dia berusia 16 tahun. Tetapi dia dan pasangannya yang berusia 20 tahun, berpisah tahun lalu dan hak penjagaan bayi itu diberikan kepada remaja berkenaan. 

Remaja itu kemudian tinggal bersama dengan tiga saudara perempuannya yang berusia lingkungan 20-an. 

Pada malam kejadian, remaja terbabit memukul mangsa dengan kejam kerana enggan minum susu dan tertumpah susu pada produk kosmetiknya. Lebih mengejutkan lagi, si ibu membenarkan tiga lagi saudaranya memukul mangsa secara bergilir-gilir. 

Mangsa menangis kesakitan tetapi keempat-empat suspek tidak peduli. Tidak berapa lama kemudian, mangsa tidak sedarkan diri dan kesemua suspek menyangka mangsa tertidur lalu dibawa pergi ke pusat karaoke dan berhibur selama tiga jam. 

Apabila si ibu melihat mata anaknya ke atas, dia memukul kepala mangsa tanpa mengetahui mangsa telah meninggal dunia. 

Selesai berkaraoke, si ibu baru tersedar ada sesuatu yang tidak kena pada mangsa lalu mengejarkannya ke hospital. Malangnya sudah terlambat. 

Pemeriksaan doktor mendapati terdapat kesan lebam di seluruh badan mangsa dan beberapa kesan luka yang dipercayai disebabkan oleh kuku sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis. 


Hasil bedah siasat mendapati, mangsa maut kerana mengalami pendarahan dalam kepala. Polis mengesyaki salah seorang dari suspek telah menghentak kepala mangsa ke dinding atau mangsa terjatuh dan kepalanya terhentak di lantai. 

Si ibu dan tiga rakannya ditahan dan kesemua suspek mengaku bersalah. Tetapi, kesemua mereka mendakwa mangsa telah dirasuk oleh syaitan dan perlu dipukul agar dia mendengar kata. 

Difahamkan, mangsa dipukul sejak Januari 2019 dan mereka akan memukul mangsa setiap kali mangsa menangis. 


Polis menyerbu kediaman suspek dan menemui beberapa objek yang dipercayai digunakan untuk memukul mangsa seperti alat pengurut, rotan dan tiub plastik. 

Sementara itu, bapa dan nenek mangsa terkejut dan sedih apabila mengetahui kejadian yang menimpa bayi berkenaan. 

"Ayah akan pastikan kamu dapat keadilan. Ayah menyesal tak bawa kamu tinggal bersama dengan ayah dan membiarkan kamu menderita dengan mereka. 

"Maafkan ayah. Ayah sayang kami," tulis bapanya di Facebook. 

Kes itu viral di media sosial dan ramai netizen berkumpul di balai polis kerana mahu memberi pengajaran terhadap suspek. Keadaan itu memaksa polis meminta bantuan dari anggota tambahan ditempatkan di balai untuk mengawal keadaan. 


Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

No comments

Powered by Blogger.