'Hampir jam 9 malam, budak ini masih berbaju sekolah & tertidur di tangga masjid...'
Oleh Hazrezal Ahmad
Kasihan aku tengok budak ini, masih berbaju sekolah agama tertidur di tangga masjid menunggu ibu bapanya datang menjemputnya.
Masa aku snap picture ini, azan isyak baru berkumandang. Dia sekolah di
sekolah agama di sebelah masjid ini. Bayangkan, sudah hampir jam 9 malam
masih berpakaian sekolah dan belum pulang. Aku yang dewasa ini pun rasa
letih di waktu-waktu seperti ini. Inikan pula budak kecil?
Alhamdulillah, habis saja azan, ibunya datang menjemput. Lega perasaan
aku. Dalam hati, aku berharap bukan selalu ibunya datang lewat. Mungkin
baru sekali dua sahaja atau mungkin ini kali pertama dan ia takkan
berulang lagi. Lagipun petang tadi hujan sangat lebat, mungkin ibunya
terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
Walaupun masjid ramai orang, aku jadi susah hati kalau tengok
budak-budak kena tunggu ibu bapa mereka lama-lama seperti ini sebab
minda dan emosi mereka pada masa ini seharusnya menerima kasih sayang
yang cukup dari ibu bapa. Mereka tidak sepatutnya menjadi kanak-kanak
terbiar.
Aku bersyukur sebab dapat berada di sisi anak-anak ketika mereka
memerlukan. Mungkin aku tidak dapat berikan kemewahan tetapi aku dapat
berikan masa yang sangat banyak untuk mereka. Kerana di peringkat ini,
kasih sayang dan perhatian yang secukupnya untuk anak-anak adalah sangat
penting.
Sampai sekarang aku masih teringat kata-kata seorang rakan,
"Aku menyesal tak dapat tengok anak
membesar depan mata kerana terlalu sibuk bekerja. Sekarang mereka sudah
dewasa dan mereka tidak rapat dengan aku.."
Menjadi ibu bapa, kita tidak perlu kaya harta, tetapi kita perlu kaya masa.
Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih
Post a Comment