Bomba, AKSB nafi terima permohonan YB Siti Zailah gunakan bekalan air dari pili bomba untuk diberi kepada penduduk



Tindakan Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff mengambil air dari pili bomba untuk menangani masalah bekalan air penduduk di kawasannya, mengundang pelbagai reaksi netizen. 


Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan dan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Siti Zailah kerana perbuatan itu tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana individu. 


Jelas Kor Ming, sumber air dari pili bomba adalah digunakan untuk memadam kebakaran dan bukannya digunakan sebagai bekalan air untuk kegunaan seharian. 


"Jika semua orang pakai air pili bomba, jika berlaku kebakaran macam mana? Ini sebenarnya tidak patut berlaku," katanya. 


Bagaimanapun, Siti Zailah mempertahankan dirinya dan menafi dakwaan mencuri bekalan air dari pili bomba. Sebaliknya dia telah mendapat kebenaran. 


"Tiada berbangkit isu curi air. Kami membantu rakyat yang kecemasan memerlukan air. Air itu adalah air Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) dan mendapat kebenaran daripada pihak mereka. 


"Penggunaan pili bomba adalah dengan kebenaran dan pengetahuan daripada pihak Balai Bomba Rantau Panjang. Malah pihak bomba juga banyak membantu kami menghantar bantuan air ke premis seperti surau dan sekolah yang kecemasan memerlukan air," katanya. 


Sementara itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan memaklumkan pihaknya tidak menerima sebarang permohonan daripada Siti Zailah untuk berbuat demikian. 


Pengarah JBPM Kelantan, Zainal Madasain berkata, pihaknya juga menghubungi Pengurus Besar AKSB untuk mendapatkan maklumat mengenai perkara itu. 


"Pihak kami tidak terima sebarang permohonan daripada YB untuk ambil air daripada pili bomba. Terus terang saya cakap. 


"Saya juga hubungi Pengurus Besar AKSB dan beliau maklumkan pihaknya juga tiada terima permohonan daripada YB. Kita sudah membuat laporan bagi siasastan lanjut berkait perkara ini," katanya. 


Sumber: Bernama, Harian Metro


Jika Anda Rasa Artikel Ni Berguna, Silakan Klik Button Like Dibawah. Terima Kasih

No comments

Powered by Blogger.